Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau ‎kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh ‎yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat ‎keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang ‎Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)‎

Ahad, 9 Jun 2013

Contohi Rasulullah SAW Kekalkan Keharmonian Rumah Tangga



Rasulullah SAW adalah sebaik-baik manusia di muka bumi Allah ini yang seharusnya dijadikan contoh dan ikutan dalam kita menjalani kehidupan harian agar hidup kita sentiasa di dalam keredhaanNya. Rasulullah SAW juga juga telah menunjukkan beberapa perbuatan & tingkah laku yang penuh hikmah dalam mengekalkan keharmonian rumah tangganya yang mana kita sebagai umatnya, boleh mencontohinya dan mengamalkannya. Bagaimanakah Rasulullah SAW mengekalkan keharmonian rumah tangganya?

Pertama : Tidur dalam satu selimut meskipun isterinya sedang haid
Dari Ata’ bin Yasar: Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah R.A biasa mandi bersama dalam satu bekas. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda bertanya, “kenapa engkau bangkit?”, jawab Aisyah, “kerana saya haid”. Sabda Rasulullah SAW, “kalau begitu pergilah, pakailah kain & dekatlah kembali padaku”. “Aku pun masuk lalu berselimut dengan baginda”. (Hadis riwayat Said b Mansur)
Kedua : Menyembur wangian pada bahagian aurat
Dari Aisyah R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW apabila mewangikan badannya, baginda akan memulai dengan bahagian auratnya menggunakan nurah (sejenis pewangi), dan isterinya akan meminyaki bahagian lain tubuh baginda”. (Hadis riwayat Ibn Majah)
Ketiga : Mandi bersama isteri
Dari Aisyah R.A, beliau berkata: “Aku biasa mandi bersama Nabi SAW dalam satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami dalam bekas tersebut”. (Hadis riwayat Abdurrazzaq & Ibn Abu Syaibah)
Keempat : Menyikat rambut Nabi
Dari Aisyah R.A, beliau berkata: “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah SAW, ketika itu saya sedang haid”. (Hadis riwayat Ahmad)
Kelima : Meminta isteri meminyakkan badan
Dari Aisyah R.A, beliau berkata: “Saya meminyakkan badan Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidil Adha setelah baginda melakukan Jamrah Aqabah”.  (Hadis riwayat Ibn Asakir)
Keenam : Minum bergantian pada tempat yang sama
Dari Aisyah R.A, beliau berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu menghirup airnya. (Hadis riwayat Abdurrazzaq & Said b Mansur)
Ketujuh : Mencium isteri walaupun sebelum solat
Dari Aisyah R.A, beliau berkata: “Nabi SAW biasa mencium isterinya setelah mengambil wudhu’, kemudian baginda bersolat dan tidak mengulangi wudunya”. (Hadis riwayat Abdurrazzaq)
Kelapan : Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah SAW biasa memanggil Aisyah RA dengan panggilan yang disukai seperti Aisy & Humaira (pipi merah delima)
Kesembilan : Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra
Nabi SAW biasa memicit hidung Aisyah RA jika dia marah dan baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa ‘wahai Tuhanku Tuhan Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkan kekerasan hatiku dan lindungilah aku dari dosa  fitnah yang menyesatkan’ “. (Hadis riwayat Ibn Sunni)
Kesepuluh : Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Aisyah RA, beliau berkata: “Aku pernah tidur bersama  Rasulullah SAW di atas satu tikar ketika sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, baginda mencuci  dan tidak pula berpisah dari tempat duduk itu, lalu baginda kembali baring di sisiku, apabila darahku sekali lagi menitis, baginda mencuci lagi titisan darah dan tidak berpindah dari tempatnya, kemudian baginda bersolat dari tempat itu”.  (Hadis riwayat Nasai)
Kesepuluh : Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Ummu Kalthum bin Abu Salamah, Rasulullah SAW bersabda padanya:  ”Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sehelai pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika ianya dikembalikan aku akan memberikan kepada isterinya masing-masing 1 botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian berenda tersebut baginda berikan pada Ummu Salamah”. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan