Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau ‎kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh ‎yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat ‎keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang ‎Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)‎

Khamis, 25 Julai 2013

Nuzul al - Quran


 PENGENALAN
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.
Al – Quran merupakan mukjizat yang amat besar yang dikurniakan kepada Rasulullah.
Al – Quran juga merupakan kitab suci yang menjadi panduan hidup bagi seluruh umat Islam.
Selain disebut al-Quran, ia  juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr

PENGERTIAN NUZUL AL – QURAN
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud Kalam Allah (Kata – Kata Allah) atau bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya
Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun. 13 tahun di Makkah  dan10 tahun di Madinah.

ANTARA KEHEBATAN AL – QURAN
  a) Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)

b) Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.

c) Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

d) Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).

e) Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw.

f) Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat.

g) Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)

h) Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan